Monday 23 May 2011

Petikan Utusan Malaysia


Turun padang selesaikan krisis air

KUALA LUMPUR 3 Mei - Semua pihak yang bertanggungjawab dan berkaitan digesa supaya turun padang dan melihat sendiri permasalahan yang berlaku di negeri itu dalam usaha untuk menamatkan krisis perkhidmatan air di Selangor demi kesejahteraan rakyat.
Presiden Pengguna Prihatin Selangor dan Wilayah Persekutuan, Buang Raban berkata, semua pihak sepatutnya mencari jalan yang proaktif dan bukan hanya menuding jari kepada satu sama lain.
"Permasalahan yang timbul bukanlah disebabkan kesilapan atau kelemahan syarikat pengendali air. Mereka ini hanya pemain dalam industri air yang mengikut perjanjian konsesi ditetapkan oleh kerajaan negeri dan Pusat.
"Justeru, satu kata putus harus dibuat oleh kedua-dua pihak (kerajaan Pusat dan kerajaan negeri) bagi mengatasi kemelut yang kian meruncing ini lebih-lebih lagi dengan adanya tindakan penurunan penarafan bon dari semasa ke semasa yang membebankan semua pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas permasalahan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di Selangor yang gagal mencapai kata putus disebabkan percanggahan pendapat antara kerajaan Pusat dan negeri sejak tahun lalu.
Jelas Buang, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) perlu peka dan bekerjasama untuk mengeluarkan kata putus yang menguntungkan semua pihak.
Katanya lagi, tindakan sesetengah pihak yang menuding jari kepada syarikat konsesi juga dilihat tidak wajar kerana syarikat tersebut telah mengeluarkan modal yang tinggi menerusi pinjaman bank, dan pemegang bon bagi membiayai kos peningkatan infrastruktur, penggantian paip-paip usang, kos rawatan air mentah selain memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.
Tambahnya, tidak wajar sekiranya syarikat tersebut dilihat berorientasikan keuntungan semata-mata kerana tanggungjawab yang dipikulnya adalah besar dan tindakan menaikkan tarif adalah peluang untuk syarikat konsesi melunaskan hutang pinjaman bank mereka.
"Kenaikan tarif air di Selangor diakui oleh semua pakar air sebagai sebuah mekanisme berkesan mengekang pembaziran air dan menyemai nilai berjimat-cermat dalam menggunakan air," ujarnya.

2 comments: