Monday 23 May 2011

FOMCA: AMBIL IKTIBAR KEGAGALAN PROJEK PENYELESAIAN KRISIS AIR DI LABUAN


   Pada tahun 2009, Sime Darby telah membuat pengumuman bahawa syarikat tersebut akan menjalankan projek air bawah tanah untuk menyelesaikan krisis air yang berlaku di Pulau Labuan. 

   Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, “Projek air bawah tanah yang lestari berdasarkan kepada nilai ‘aliran masuk’ iaitu kaedah pengisian air bawah tanah secara semula jadi. Sebarang penggunaan melebihi nilai ini diklasifikasikan sebagai perlombongan air.



   Tidak terdapat aktiviti perlombangan air yang lestari atau mesra alam pada masa ini di seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan Labuan mengalami kemarau kerana tidak mempunyai aliran masuk untuk mengekalkan aras air bawah tanah.”


   Ahli gabungan FOMCA, tambah beliau lagi, iaitu Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) telah mengkaji isu ini dan mempersoalkan tentang kelulusan projek ini kepada beberapa agensi kerajaan. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada agensi-agensi berkenaan, didapati projek ini dilaksanakan atas dasar kecemasan.
Datuk N. Marimuthu selanjutnya berkata, “Sime Darby tidak boleh membuat pengumuman berbentuk projek yang membawa pulangan kewangan. Projek ini dianugerahkan di bawah Majlis Keselamatan Negara untuk mengurangkan kesengsaraan rakyat, bukannya untuk memperkukuhkan kedudukan Sime Darby dalam projek air bawah tanah.


   Keduanya, dua lubang (atau ‘borehole’) telah digali di bawah projek ini, tetapi masalah krisis air masih berterusan. Adakah ini penyelesaian yang dimaksudkan? Mengapa duit rakyat dibazirkan disebabkan satu projek yang tidak berfungsi?


  “Pihak kami juga telah memberikan cadangan seperti loji pengenyah garam (desalination) yang bergerak sebagai salah satu penyelesaian. Loji seperti ini telah diadakan di India sebagai  sumber bekalan air kepada kawasan yang dilanda krisis air.”


   Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui pernah membuat kenyataan, yang lebih bersifat lestari dan merupakan salah satu  penyelesaian kepada masalah bekalan air di Labuan, iaitu melakukan proses kitar semula air sisa kumbahan untuk kegunaan industri. Ini merupakan satu langkah yang bijak, ujar Datuk Marimuthu lagi.
Beliau berkata, “Langkah seperti ini sewajarnya diijalankan apabila berlakunya  krisis air. Ini bukannya suatu tindakan yang baru. Singapura sendiri telah menggunakan sumber ini untuk diproses sebagai air minuman.


   “Di Sydney, Australia,  terdapat dua jenis paip air, iaitu satu untuk kegunaan minuman dan makanan, manakala satu lagi untuk kegunaan bukan minuman dan makanan yang dibekalkan daripada air kumbahan yang dikitar semula. FOMCA lebih mengesyorkan usaha seperti ini setelah melihat kegagalan Sime Darby dalam  menyelesaikan krisis air ini.”


   Datuk N. Marimuthu juga berharap kerajaan lebih memberikan tumpuan dalam pengurusan air yang sebenar melalui pengurusan air di permukaan. Hal  ini juga telah disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2010 di Muar, Johor.


   Keputusan untuk meluluskan sesuatu projek mestilah berdasarkan kepada keupayaan dan hasil yang ketara. Hentikan pembaziran duit rakyat dan memberikan tumpuan pada penyelesaian kejuruteraan yang sebenar.


   Sekarang siapa yang memastikan bahawa Sime Darby akan bertanggungjawab terhadap kegagalan ini?


Datuk Marimuthu Nadason,
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

No comments:

Post a Comment